Malah, manfaat berpuasa ini juga boleh diraih selepas Ramadan jika amalan puasa itu diteruskan pada bulan-bulan lain.
FAEDAH MAKAN KURMA SEMASA BERPUASA
Semasa kita berpuasa, paras gula dalam darah mungkin menjadi lebih rendah pada hujung hari.
Kurma adalah makanan karbohidrat yang membantu meningkatkan paras gula dalam darah dengan cepat dan merupakan sumber tenaga, serabut fibre dan mineral seperti kalsium, yang penting untuk jantung.
MAKANAN YANG DISARAN SEMASA BERSAHUR DAN BERBUKA
Cik Musfirah menggalakkan hidangan sahur mengandungi karbohidrat yang tahan lama demi memberikan pelepasan tenaga yang stabil sepanjang hari dan membantu individu untuk berasa kenyang ketika berpuasa.
Contohnya ialah bijirin penuh seperti oat, roti gandum dan beras perang.
"Semasa bersahur, saya suka makan hidangan oat bersama susu rendah lemak dan akan menambah pelbagai buah-buahan, seperti epal dan pisang, untuk menambah perisa dan khasiat.
"Memandangkan waktu berbuka adalah masa keluarga sering berkumpul untuk menjamu selera, adalah penting kita tidak makan secara berlebihan dan makan perlahan-lahan selepas berjam-jam tidak makan.
"Dengan tempoh agak singkat untuk makan dan minum, kita harus memberi tumpuan untuk memperoleh nutrien penting demi mempunyai diet seimbang," kata Cik Musfirah.
Bagaimana memperoleh hidangan sihat dan seimbang semasa berpuasa
Orang ramai disarankan makan mengikut perkadaran My Healthy Plate sebagai panduan, iaitu separuh pinggan sayur-sayuran, suku pinggan daging dan lain-lain, dan suku lagi bijiran penuh.
Bagaimana mengelakkan dehidrasi semasa berpuasa
Semasa berpuasa, disarankan mengurangkan minuman berkafeina yang boleh menyebabkan dehidrasi (keadaan kekurangan air yang teruk akibat pengambilan air yang rendah atau kehilangan air yang berlebihan dari tubuh).
Selain itu, makanan yang mempunyai kandungan garam yang tinggi boleh meningkatkan rasa dahaga.
Justeru, kita boleh mengamalkan minum secawan air setiap beberapa jam selepas berbuka walaupun tidak berasa dahaga.
Kita juga boleh memasukkan makanan yang mempunyai kandungan air yang tinggi, seperti buah tembikai dan anggur, timun serta sup dalam sajian berbuka puasa.
Dengan adanya bazar besar-besaran, bagaimana menikmati juadah lazat sambil menjaga diet
Kita masih boleh menikmati juadah yang beraneka di bazar Raya, tetapi pada masa sama harus cuba mengurangkan makanan bergoreng dan pencuci mulut yang tinggi dengan gula.
Dan adalah lebih baik berkongsi makanan seperti ini bersama keluarga dan rakan-rakan.
"Memandangkan waktu berbuka adalah masa keluarga sering berkumpul untuk menjamu selera, adalah penting kita tidak makan secara berlebihan dan makan perlahan-lahan selepas berjam-jam tidak makan. Dengan tempoh agak singkat untuk makan dan minum, kita harus memberi tumpuan untuk memperoleh nutrien penting demi mempunyai diet seimbang."
- Pakar diet Hospital Masyarakat Sengkang, Cik Musfirah Albakri