Health Information

Maklumat Kesihatan

Interactive Patient Guide

Panduan Pesakit Interaktif

Skills for Life - Homecare
Health Check Online
 
 
 
 
 
Select  
 


Psikologi Wargatua

Apa itu Psikogeriatrik?


Psikogeriatrik adalah satu kajian masalah kelakuan dan mental wargatua. Untuk orang-orang yang lebih tua, perubahan fizikal, emosi dan sosial yang berlaku dengan proses menjadi tua boleh mengakibatkan masalah-masalah psikologi.


Gangguan Psikologi yang Biasa Berlaku di kalangan Wargatua


Kemurungan

Kemurungan adalah keadaan emosi yang dicirikan oleh perasaan kesedihan, kekecewaan dan ketidakupayaan yang berlebih-lebihan.Wargatua mempunyai risiko kemurungan dan percubaan membunuh diri yang lebih tinggi daripada orang muda kerana kehilangan-kehilangan besar biasanya akan berlaku pada peringkat yang terkemudian dalam hidup sebagai contoh, penyakit berkaitan kesihatan, perubahan keadaan fizikal, kehilangan pendapatan selepas persaraan, kematian ibu bapa dan rakan-rakan, kehilangan teman hidup dan perubahan dalam penentuan tempat tinggal.

Kebanyakan kemurungan tidak disedari atau dianggap sebagai biasa oleh keluarga dan oleh sebab itu tidak dikesan. Pengesanan lebih awal dan rawatan sewajarnya adalah penting untuk mengelakkan penderitaan yang keterlaluan.

Gejala-gejala yang biasa untuk kemurungan termasuk perubahan angin (perasaan) yang terbaru, terutamanya sikap pesimis, kemuraman dan kehilangan rasa riang. Mungkin ada penumpuan yang kurang baik, kelesuan, kehilangan minat dalam kegiatan, perasaan bersalah, perubahan dalam selera makan dan tidur. Terdapat juga gejala-gejala tidak biasa berkaitan dengan kesakitan badan dan kebimbangan yang teruk. Sebagai contoh, orang yang terlibat mungkin sia-sia mengalami kebimbangan berkenaan isu-isu yang remeh, atau mungkin sentiasa mencari perhatian untuk sakit badan dan ketidakselesaan. Kadang-kala, kemurungan juga boleh menyebabkan perubahan daya ingatan.

Racauan

Racauan adalah dicirikan oleh perubahan kelakuan secara tiba-tiba, bersama keresahan, tidak memberikan perhatian penuh, kekeliruan dan perubahan daya ingatan yang berubah-ubah dengan peredaran hari. Pada keluarganya, orang yang terlibat mungkin kelihatan keliru sekali-kala. Sebagai contoh seseorang yang berdikari dan sihat boleh secara tiba-tiba kelihatan bingung dan gelisah, kadang-kala berkelakuan biasa, tetapi menjadi gelisah dan resah semula beberapa jam kemudian. Kadang-kala, terdapat rasa mengantuk. Kitaran tidur-jaga biasanya terganggu, dan perubahan biasanya lebih ketara pada waktu petang dan malam.

Racauan memerlukan perhatian perubatan yang segera kerana ianya dikaitkan dengan risiko-risiko kesihatan yang lebih tinggi. Ianya mungkin disebabkan oleh jangkitan, strok yang kecil, kencing manis yang tidak didiagnosis atau yang kurang dikawal, hipertensi (tekanan darah tinggi) dsbnya. Kesan-kesan sampingan ubat-ubatan tertentu boleh kadang-kala menyebabkan racauan. Orang yang menunjukkan racauan buat kali pertama selalunya perlu dimasukkan ke hospital untuk mengenal pasti dan merawat punca dasarnya. Kebanyakan pesakit beransur pulih dengan rawatan. Jika tidak dirawat, racauan boleh membawa ke demensia atau maut.

Demensia

Demensia adalah kehilangan keupayaan kognitif (mental) yang teruk sehingga boleh menjejaskan perlakuan sosial atau pekerjaan. Berbanding dengan racauan, gejala-gejala demensia berlaku secara beransur-ansur. Kehilangan keupayaan kognitif menjejaskan daya ingatan, pemikiran abstrak, penyelesaian masalah, pertimbangan, kebolehan membaca, menulis, melukis dan bertutur. Wargatua mungkin mengalami daya ingatan jangkamasa pendek yang kurang baik, menghadapi kesusahan memandu dalam kawasan perumahan dan mencari kata-kata yang sesuai semasa bercakap.

Dengan perkembangan demensia, wargatua akan memerlukan pengawasan dan bantuan dalam kegiatan-kegiatan harian mereka sebagai contoh semasa makan, membersihkan diri, memakai pakaian dan bila perlu membuang air. Kebanyakan penghidap tidak mengalami kerumitan kelakuan. Namun bila ianya berlaku, kerumitan kelakuan mungkin termasuk selalu merayau-rayau, kelakuan sosial yang tidak sesuai, perubahan angin.

Demensia boleh juga menyebabkan perubahan kelakuan dan keperibadian sebagai contoh satu syak wasangka paranoid berkenaan pencurian harta benda mereka oleh orang. Kadang-kala sebahagian gejala-gejala kelakuan mungkin disebabkan oleh gangguan angin atau racauan. Ini selalunya boleh dirawat dengan jayanya jika dikesan lebih awal. Oleh kerana kehilangan daya ingatan dalam demensia adalah kebiasaannya secara beransur-ansur, keluarga mungkin tidak menyedari perubahan ini sehingga lebih daripada enam bulan telah berlalu.

Dua daripada jenis demensia yang paling sering berlaku adalah Penyakit Alzheimer dan Demensia Vaskular. Lebih daripada 50% demensia adalah disebabkan penyakit Alzheimer. Dalam keadaan ini, sel-sel otak mati pada kadar yang lebih cepat daripada biasa, menyebabkan kehilangan fungsi kognitif secara berperingkat-peringkat.

Demensia vaskular adalah demensia yang kedua paling kerap berlaku. Punca dasarnya adalah disebabkan oleh iskaemia (pengaliran darah yang berkurangan) atau strok yang berlaku pada pelbagai bahagian otak. Selalunya, ada latarbelakang hipertensi atau kencing manis melitus, yang merupakan faktor-faktor yang meningkatkan risiko menghidapi demensia vaskular.

Terdapat punca-punca demensia lain yang kurang biasa. Untuk mengenali punca demensia dengan tepat, pemeriksaan kesihatan yang sepenuhnya diperlukan, kadang-kala termasuk imbasan otak CT.

 

Psikosis di kalangan Wargatua

Gangguan psikotik adalah dicirikan oleh satu pemikiran yang tidak teratur yang menjejaskan logik dan daya tanggapan terhadap realiti. Gejala-gejala yang utama adalah halusinasi, delusi dan kehilangan wawasan.

Halusinasi berlaku apabila seseorang itu melihat satu objek yang tiada di situ. Sebagai contoh, seseorang itu mungkin mendengar suara sedangkan tiada punca di sekeliling atau mungkin merasa serangga-serangga khayalan sedang merayap di kulitnya.

Delusi adalah kepercayaan tetap namun yang tidak benar dan yang tidak konsisten dengan latarbelakang pendidikan dan keagamaan seseorang. Seseorang itu mungkin berasa dianiayai dan takut terhadap nyawanya, atau mempunyai tanggapan yang suami atau isterinya berlaku curang atau mereka menghidap penyakit yang dikhayalkan.

Psikosis semasa usia tua dikaitkan dengan kelemahan dalam daya pendengaran dan penglihatan dan keterasingan sosial. Keresahan boleh jadi satu gejala yang mendatangkan masalah, dan kemurungan yang serentak boleh merumitkan lagi keadaan. Ubat-ubatan antipsikotik biasanya dipreskipsi dalam dos yang kecil.

 

Rancangan Psikogeriatrik

Di Hospital Besar Changi, kami mempunyai satu rancangan penilaian dan rawatan yang menyeluruh dan pelbagai disiplin untuk orang-orang yang berumur lebih daripada 65 tahun yang sedang mengalami kerumitan psikiatrik. Setiap seorang dinilai secara teliti berdasarkan keseluruhan faktor-faktor fizikal, psikologi, sosial dan persekitaran mereka yang mungkin mengakibatkan masalah-masalah mereka. Kumpulan kami terdiri daripada perunding psikogeriatrik dan geriatrik, ahli psikologi, jururawat sakit jiwa, ahli terapi pekerjaan, ahli fisioterapi dan pekerja sosial.

Sebaik sahaja penilaian selesai, satu rancangan rawatan disediakan secara individu untuk keperluan pesakit. Di mana boleh, kami melibatkan pesakit-pesakit dan keluarga mereka dalam proses ini secara aktif. Penekanan kami adalah tertumpu pada pemberian suasana yang memberi sokongan dan penyayang, memberi tumpuan pada pemupukan kekuatan dan kemahiran mereka yang sedia ada untuk mencapai potensi mereka yang sepenuhnya. Pilihan rawatan termasuk:

  • Psikoterapi individu
  • Kaunseling keluarga
  • Ubat-ubatan
  • Peningkatan kemahiran
  • Perangsangan deria
  • Terapi berehat dan senaman


Kebanyakan gangguan mental di kalangan wargatua boleh dirawat dengan jayanya. Campur tangan sesuai boleh membawa perbezaan dalam mengurangkan kebimbangan dan dapat memperbaiki kualiti kehidupan. CGH menawarkan kedua-dua perkhidmatan psikogeriatrik pesakit dalam dan pesakit luar. Hospital Geriatrik Waktu Siang juga terdapat untuk pesakit-pesakit yang sesuai. Susulan daripada dibenarkan keluar dari hospital, kumpulan pelbagai disiplin kami akan berhubung dengan keluarga, doktor-doktor rujukan, ahli profesional yang lain dan agensi-agensi masyarakat untuk memastikan penjagaan yang berterusan.

 

Ingin dapatkan nasihat profesional?

Bahagian Perubatan Psikologi CGH menawarkan perkhidmatan psikiatrik yang menyeluruh. Jika anda ingin menempah janji temu untuk perundingan Psikogeriatrik, sila hubungi Pusat Janji Temu kami di talian: 68503333.