Orang-orang yang bimbang atau dalam ketakutan
boleh dibantu dalam berbagai cara:
1. Bercakap mengenai masalah
tersebut
Adakalanya perbualan bersama seorang kawan yang dipercayai
atau seorang ahli keluarga yang kita sanjungi pendapat-pendapatnya
dapat mengurangkan keresahan kita dengan begitu efektif.
Mereka mungkin telah menghadapi masalah tersebut secara
sendiri dan dapat berkongsi pengalaman. Terdapat juga
ramai para profesional yang boleh kita temui, contohnya
doktor keluarga, ahli psikiatri, pakar sakit jiwa, pekerja
sosial, jururawat atau kaunselor.
2. Belajar berehat 
Mempelajari suatu teknik merehatkan diri boleh membantu
anda untuk bersantai dan dapat mengawal tegangan dan
kebimbangan anda. Teknik berehat termasuk senaman bernafas,
bertafakur dan imejan. Terdapat berbagai buku dan pita
audio yang boleh diperolehi oleh anda untuk melatih
diri anda berkenaan teknik-teknik tersebut.
3. Psikoterapi
Ini merupakan rawatan
perbualan yang lebih intensif, yang boleh membantu pasakit
mengenali, memahami dan menerima sebab berlakunya kebimbangan
yang kemungkinannya tidak kelihatan begitu jelas. Pendekatan
melalui terapi tingkah laku kognitif yang tertentu juga
dapat membantu kebanyakan daripada gangguan kebimbangan,
sama ada secara bergabungan dengan perubatan ataupun
ataupun secara sendirinya. Teknik ini melibatkan para
individu untuk menghadapi situasi yang paling ditakuti
oleh mereka dan pada masa yang sama memberikan mereka
strategi kognitif.
4. Perubatan
Berbagai perubatan
boleh didapati untuk merawati gangguan kebimbangan.
Ianya selalunya digunakan bersama dengan kaedah yang
diterangkan di atas. Ubat pententeram dan antidepresan
adalah dua daripada ubat yang paling kerap digunakan.
Ubat pententeram yang paling kerap digunakan adalah
benzodiazepine. Ianya berguna bukan sekadar untuk gejala
kebimbangan siang hari tetapi juga di waktu malam untuk
membantu tidur. Walaupun mujarab, benzodiazepine mungkin
menyebabkan berlakunya pergantungan terhadapnya selepas
penggunaan yang berpanjangan. Gejala-gejala penguduran
akan berlaku jika ubat ini dihentikan atau dikurangkan
dosnya. Oleh itu, benzodiazepine. seharusnya digunakan
hanya untuk pengurusan gejala kebimbangan jangka pendek
dan bukannya untuk rawatan jangka panjang.
Antidepresan diguna untuk merawat kebimbangan
dan juga gejala-gejala kemurungan. Tidak seperti benzodiazepines,
ianya tidak menyebabkan pergantungan terhadapnya. Ubat
antidepresan yang selalu digunakan termasuk antidepresan
trikitaran (TCAs), penyekat kadar penyerapan semula
serotonin yang terpilih (SSRIs), dan penyekat kadar
penyerapan semula serotonergik noradrenergik (SNRIs)
dan penyekat monoamina oksidas. Ini mesti diambil secara
tetap untuk dua hingga empat minggu sebelum sebarang
peningkatan ketara dalam kesihatan berlaku.
|