Dalam risalah ini, kita akan fokus ke atas gangguan
kebimbangan yang lebih umum, gangguan panik dan fobia,
kerana ini adalah gangguan kebimbangan yang berbentuk
lebih biasa.
1. Gangguan Kebimbangan Am

Gangguan Kebimbangan Am (GAD) adalah satu tekanan dan
kegelisahan kronik yang diperbesarkan walaupun tiada
apa yang mencetuskannya. Orang yang mengalami GAD akan
sentiasa menunggu berlakunya bencana, gelisah secara
berlebihan berkenaan kesihatan, wang, keluarga atau
kerja. Mereka susah untuk berehat dan tidak dapat mengenepikan
rasa ambil tahu mereka walaupun mereka sedar bahawa
kebimbangan mereka tidak rasional. Kesusahan mereka
akan diikuti oleh gejala-gejala fizikal terutamanya
menggeletar, gerenyetan, ketegangan otot, sakit kepala,
meragam, berpeluh atau berasa panas secara tiba-tiba.
Mereka akan berasa seperti hendak pitam atau sesak nafas
dan mungkin rasa mual atau perlu pergi ke tandas dengan
lebih kerap. Selalunya kerosakan yang dikaitkan dengan
GAD adalah sederhana dan mereka yang mengalami gangguan
ini tidak akan berasa begitu tersekat dalam persekitaran
sosial atau semasa bekerja. Bagaimanapun jika ianya
teruk, maka GAD boleh melesukan, yang mengakibatkan
susah melakukan aktiviti-aktiviti harian yang mudah
sekalipun.
2. Gangguan Panik
Orang yang mempunyai
gangguan panik mempunyai perasaan gerun yang menimpa
secara tiba-tiba dan secara berulangan tanpa sebarang
amaran. Mereka tidak akan dapat menjangka bila sesuatu
serangan akan berlaku dan mungkin akan mengalami satu
kebimbangan yang tenat di antara setiap episod/kejadian.
Mereka sentiasa khuatir dalam memikirkan bila dan di
mana serangan yang seterusnya akan berlaku. Di selang
serangan, terdapat satu perasaan khuatir yang sentiasa
wujud secara berterusan berkenaan serangan berikut yang
boleh datang pada bila-bila masa.
Bila serangan panik melanda, jantung
muai berdebar dengan kuat dan pesakit akan berasa lemah,
pitam, berpeluh atau rasa gayat. Tangan mereka mungkin
berdenyut-denyut sedikit atau rasa kebas dan mereka
akan berasa panas atau kesejukan. Ketidakselesaan dada,
rasa seolah-olah muka ditekap, satu perasaan tidak realistik,
ketakutan terhadap malapetaka yang akan datang atau
kehilangan kawalan juga mungkin wujud. Orang yang mengalami
gangguan ini benar-benar percaya bahawa beliau sedang
diserang penyakit jantung atau strok, menjadi gila atau
hampir maut. Walaupun kebanyakan serangan berlanjutan
selama beberapa minit, kadang-kala ianya berlanjutan
sehingga sepuluh minit. Dalam kes-kes tertentu walaupun
yang jarang berlaku, serangan tersebut boleh berlanjutan
sepanjang satu jam atau lebih.
Gangguan panik selalunya diikuti oleh
keadaan-keadaan seperti kemurungan atau penagihan alkohol,
dan akan berkembang menjadi satu fobia. Hidup sesetengah
orang akan menjadi begitu tersekat. Mereka akan mengelak
sebarang situasi yang boleh membuat mereka tidak berdaya
jika satu serangan panik menimpa. Apabila hidup mereka
menjadi begitu tersekat oleh gangguan tersebut iaitu
yang terjadi kepada satu pertiga daripada orang yang
mengalami gangguan panik, keadaan ini dikenali sebagai
agorafobia (gerun lapang).
3. Fobia
Fobia menimpa dalam
beberapa bentuk. Fobia bukan sahaja satu ketakutan yang
keterlaluan; ianya adalah ketakutan yang tidak realistik.
Jika sumber ketakutan itu mudah dielak, maka rang yang
mengalami fobia mungkin berpendapat yang mereka tidak
perlu mendapatkan rawatan.
Fobia spesifik merupakan ketakutan
terhadap sesuatu objek atau keadaan. Ramai orang mengalami
ketakutan spesifik yang tidak rasional dan begitu kuat
terhadap barang-barang tertentu atau keadaan. Beberapa
contoh yang biasa adalah anjing, tempat-tempat tertutup,
ketinggian, eskalator, terowong, air, berterbang di
udara dan kecederaan yang melibatkan pendarahan.
Fobia sosial adalah satu ketakutan
besar terhadap dimalukan semasa situasi sosial, secara
spesifiknya yang memalukan diri sendiri di hadapan orang
lain. Kesilapan kecil mungkin akan nampak begitu besar
daripada keadaan sebenarnya. Pipi yang tiba- tiba berubah
menjadi merah juga nampaknya begitu memalukan dan si
penghidap akan berasa seolah-olah semua mata memandang
ke arahnya. Atau ketakutannya mungkin lebih spesifik,
contohnya seperti berasa bimbang bila perlu memberi
ucapan, semasa bercakap dengan bos atau dengan seorang
yang berkuasa, atau semasa ‘dating’. Fobia
sosial menjejas hidup biasa dan mengganggu perhubungan
sosial atau kerjaya.
Agrofobia, yang selalunya menuruti
gangguan panik, merupakan satu ketakutan terhadap dirinya
berada dalam sebarang keadaan yang mungkin mencetuskan
serangan panik, atau satu keadaan di mana beliau susah
melepaskan diri sekiranya berlaku serangan tersebut.
Mereka yang mengalami agrofobia akan takut untuk berkunjung
jauh dari rumah atau untuk memasuki ruang-ruang terbatas
seperti keretapi, lif, kapalterbang kerana begitu takut
akan mendapati satu serangan panik dan tidak dapat melarikan
diri dengan segera atau mendapatkan bantuan.
|